Pensyariatan Bekam dan Kesembuhan Siri 1

Pensyariatan Bekam dan Kesembuhan 
(kerta kerja dibentangkan dalam pra diploma Perhijam )

Mukadimah

Segala puja dan puji bagi Allah tuhan semesta alam, sebagaimana telah terakam dalam kitab suci Al-Quranul Karim, satu ayat yang telah disebut oleh baginda nabi Allah Ibrahim a.s. didalam firmannya yang berbunyi ;

Maksudnya : Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan Aku,
Maha suci Allah yang telah menurunkan kepelbagaian penyakit untuk menguji hamba-hambanya mencari ilmu dan pengetahuan, kaedah penyembuhan untuk setiap penyakit yang diturunkan. Kaedah dan penyembuhan itu adalah hikmah yang banyak tersembunyi dalam ayat-ayat suci Al-Quran, juga hadis-hadis yang diriwayatkan oleh rasulul maksumin Muhammad صلى الله عليه وسلم. Ada yang jelas dan ada yang perlukan penelitian yang berat. 
Seterusnya Allah menguji keyakinan hamba-hambanya untuk beramal dengan ilmu yang telah dibekalkan dan  beristiqamah dengan perawatan itu. Meletakkan sepenuh pengharapan bahawa kesembuhan adalah dari Nya yang Maha Penyembuh.

Selawat dan salam buat junjungan Rasulul Amin AlHaasyi Muhammad صلى الله عليه وسلم. Maha guru agung yang memiliki ilmu luar biasa dengan perantara yang mulia Jibril A.S. Mengetahui ilmu yang dulu dan akan datang umpama terakamnya sebuah video memori dan melihat yang akan datang bagai satu filem khayalan,  tapi itulah realiti yang kita hadap sekarang, benar dan tidak pernah tersilap pun satu kalam dari baginda صلى الله عليه وسلم tentang suasana yang akan datang. Selawat dan salam buat seluruh ahli keluarga baginda صلى الله عليه وسلم yang mulia dan penuh pengorbanan, para sahabat radiallahu anhum ajmain yang sarat dengan kesetiaan dan keikhlasan, seterusnya para tabi’, tabi’ tabi’ien, salafussoleh, ulama’ pewaris kenabian hingga ke akhir zaman.


 Ilmu perawatan bekam adalah suatu ilmu kesihatan yang sangat berguna, peninggalan junjungan mulia Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم, padanya jaminan kesembuhan daripada Allah S.W.T .
Bekam sangat besar peranan dan kesannya kepada kesihatan manusia, lalu Nabi صلى الله عليه وسلم menggesa umatnya melakukan rawatan bekam. Nabi صلى الله عليه وسلم terbukti dalam banyak hadis pernah melakukan bekam sepanjang hayat baginda.  Faedah bekam dan manfaat yang banyak sebahagian diketahui dan masih banyak lagi yang belum diterokai oleh kajian manusia.
Oleh kerana kepentingan dan kemulian pada perubatan Nabi صلى الله عليه وسلم, maka baginda menjadikannya sebagai kaedah perubatan utama baginda, para malaikat Allah juga menyarankan kepada baginda صلى الله عليه وسلم supaya dianjurkan bekam ini kepada umat baginda.
Terbukti pada hari ini, kajian dan penelitian yang silih berganti dilakukan samada oleh orang Islam sendiri mahupun bukan Islam, telah  menemukan daripada kajian mereka  kesimpulan yang sama iaitu bekam bukan sahaja merawat (penyakit) bahkan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit moden yang tidak dapat diselesaikan oleh perubatan moden.

Akan tetapi, bukti-bukti dan kajian-kajian ini sengaja di tutup dan dihapuskan oleh manusia yang hasad dan dengki terhadap perubatan Nabi صلى الله عليه وسلم. Justeru, masakini kita sangat berhajat kepada adanya penulisan, tesis dan makalah ilmiah bagi menerang kembali kegemilangan dan kebaikan mukjizat perubatan Nabi صلى الله عليه وسلم.

Disarankan supaya diwujudkan sebuah institusi pembelajaran secara tersusun dan teratur seperti yang telah di bagunkan oleh masyarakat Barat, mereka sangat terkehadapan dalam mengenengahkan bekam dalam masyarakat , seterusnya menghidupkan amalan sunnah yang mulia ini.


Sangat mendukacitakan kebanyakan negara-negara umat Islam  memandang remeh kehebatan kaedah perawatan bekam, apa yang  menyedihkan lagi mereka dengan angkuh dan sombong menafikan perubatan Sunnah ini wujud dan menyembuhkan. 



Sesungguhnya mereka telah tertipu dengan dakyah-dakyah kufur yang dibawakan oleh para orientalisme barat yang banyak menafikan kesahihan hadis-hadis berkaitan kaedah perawatan Nabi صلى الله عليه وسلم. 

Dalam perbincangan kita ini, akan dibentangkan beberapa hadis yang soheh dan muktabar dari sumber yang sihhah, yakni dari kitab sohih bukhari dan muslim, المختارات الصحة  dan sunan-sunan yang lain.

Sangat wajarlah kita sebagai muslim yang benar, berusaha mengangkat kembali kedudukan bekam di tempat yang tinggi, hari ini juga terbukti dalam pengkajian dan penelitian moden  bahawa perawatan bekam sangat berkesan dan tidak seharusnya diragui oleh seseorang yang mengaku Muslim. 

Hakikatnya,  jika sekiranya ilmu bekam ini bercanggah, kolot, mundur, tradisional dimata manusia, bagaimana pula kita boleh menolak hadis-hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang menyatakan dengan jelas point-point bekam yang di amalkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
Dan sekiranya bekam ini tiada kedudukannya, nescaya Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم  tidak akan mempraktikannya.

Semoga dengan kertas kerja ringkas ini akan memberikan pencerahan kepada pembaca mengenai ilmu bekam yang sangat mulia peninggalan dari semulia-mulia Nabi صلى الله عليه وسلم .
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada PERHIJAM kerana telah menunjukkan komitmen dan tekad untuk menyebarkan dan menaikkan taraf perawatan bekam kemartabat yang selayaknya.

Kepada Allah sahajalah penulis berserah dan bertawakkal, sedikit kajian daripada penulis dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua yang terlibat dalam mengamal dan menyebarkan perawatan bekam yang mulia ini.


0 comments:

Post a Comment